• 25 Mei 2024 | 17 Zulkaedah 1445

KMIKT Catat Pendapatan Tertinggi Pada 2022

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Syarikat berkaitan kerajaan negeri, KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMIKT) berjaya menamatkan tahun kewangan 2022 dengan pendapatan tertinggi sepanjang masa sejak beroperasi di premis baru berlokasi di Batu Buruk. 

KMIKT dalam satu kenyataan memaklumkan, anak syarikat bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd itu mencatatkan keuntungan pertama dan tertinggi sejak beroperasi di premis baru itu sejak lima tahun lepas.

“Ini merupakan rekod baru dan tertinggi sejak syarikat ini di tubuhkan 17 tahun yang lalu. 

“Sebelum ini keuntungan hanya dicatat pada tahun 2013 di premis lama,” ujar kenyataan itu.

Kenyataan tersebut berkata, faktor utama penyumbang kepada prestasi cemerlang KMIKT adalah peningkatan dalam bilangan pesakit dalam dan pesakit luar serta pertambahan kadar penghunian bilik sebanyak 82 peratus. 

“Prestasi yang konsisten ini membuktikan KMIKT kekal cemerlang sebagai hospital pakar swasta pilihan dan dipercayai,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi KMIKT, Mazli Zakuan Mohd Noor berkata, dalam usaha untuk meningkatkan prestasi syarikat, KMIKT akan memberi tumpuan untuk meningkatkan perkhidmatan dan sub-kepakaran dengan menawarkan pelbagai servis kesihatan yang memenuhi permintaan pelanggan.

“Selain itu, fokus turut diberikan dalam meningkatkan penembusan pasaran kepada segmen pasaran baharu dan sedia ada di Pantai Timur,” ujarnya.

Tambah beliau, usaha berterusan untuk mewujudkan kerjasama dengan kedua-dua sektor awam dan swasta juga akan terus diperhebat. 

“Setakat ini, kerjasama di antara KMIKT dan LPPKN masih lagi diteruskan untuk Program Saringan Mammogram dimana pencarum Wanita PERKESO yang berumur 40 tahun keatas layak untuk mendapatkan ujian saringan mammogram secara percuma di premis KMIKT,” jelasnya.