• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

KMIKT, Hospital Milik Kerajaan Negeri Pertama Tawar Khidmat EP

KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Syarikat milik kerajaan negeri, Pusat Perubatan Kumpulan Medic Iman Kuala Terengganu (KMIKT) menjadi hospital swasta pertama di Pantai Timur yang menyediakan perkhidmatan elektrofisiologi (EP) bagi merawat masalah degupan jantung.

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr Rayney Azmi berkata, rawatan itu selaras dengan pengoperasian Makmal Kateterisasi Jantung (Cath Lab) yang bernilai RM4 juta sejak Disember tahun talu.

Ujarnya, sehingga kini satu prosedur pemasangan perentak jantung sudah dilaksanakan oleh pasukan kardiologi yang diketuai Dr. Ahmad Suhaimi Mustafa.

"Sebelum ini, Terengganu hanya mempunyai sebuah makmal kateterisasi di hospital kerajaan dan ini menyebabkan penduduk perlu ke luar negeri untuk mendapatkan rawatan alternatif untuk jantung.

“Antara rawatan lain yang disediakan termasuk angiografi koronari dan angioplasti koronari dengan prosedur berkenaan boleh dijalankan dalam masa singkat tanpa perlu menunggu tempoh masa lama sehingga lapan bulan sebagaimana di hospital kerajaan.

"Kelebihan makmal ini pula adalah kami satu-satunya hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan EP (rawatan untuk mengatasi masalah degupan jantung) di Pantai Timur," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Makmal Kateterisasi Jantung di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan turut dihadiri Pengurus Besar KMIKT, Salina Long.

Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata, perkhidmatan Cath Lab oleh KMIKT memberikan satu lagi penanda aras kepada hospital swasta milik kerajaan negeri.

Katanya, ia menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan dalam memberikan perkhidmatan perubatan terbaik kepada semua.

"Selain diharap mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan dan rawatan dijalankan dalam masa singkat tanpa perlu menunggu tempoh masa lama sebagaimana di hospital kerajaan," katanya.

 


Tag: