• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kolam Taman Shahbandar Rosak, Terbiar Akibat Vandalisme

KUALA TERENGGANU, 27 Jun -  Kolam di Dataran Shahbandar yang ditularkan di media sosial kerana terbiar disahkan rosak akibat kegiatan vandalisme.

Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Rosli Latif berkata, semakan pihaknya mendapati banyak alatan sistem air di kolam rekreasi terbabit  dicuri individu tidak bertanggungjawab.

Katanya, perbuatan itu sekali gus menyebabkan sistem air serta  elektrik kolam berkenaan rosak dan tidak berfungsi.

"Kerja-kerja pembaikian dan penambahbaikan kolam memerlukan peruntukan kira-kira RM278,200 meliputi kos penggantian pam, lampu, pembinaan landskap dan lain-lain.

"Kita mahu berikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, namun jika tidak mendapat kerjasama daripada orang ramai ia menjadi sukar,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman di pejabatnya semalam.

Beliau yang menggalas jawatan Datuk Bandar pada 1 Jun lalu berkata, bagi mengelakkan kolam itu terus terbiar pihaknya sudah merancang untuk mengubah suai kolam terbabit.

"Kolam itu telah dibersihkan pada 15 Jun lalu, sekarang kami sedang meneliti untuk melakukan pengubahsuaian yang kurang terdedah kepada aktiviti vandalisme dan meminimakan kos operasi bulanan.

"Kos penyelenggaran bagi perubahan landskap itu juga akan diambil kira agar ia tidak membebankan di kemudian hari,” katanya.

Tambahnya, beliau akan sentiasa turun padang bagi meninjau aduan-aduan daripada orang ramai berkaitan perkhidmatan kemudahan awam yang dimiliki oleh MBKT. 


Tag: