• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kolej Ketengah Berpotensi Jadi Hub Pendidikan TVET

KUALA NERUS, 26 Jun - Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) mampu dijadikan sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi atau hub Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke arah inovasi berteknologi tinggi dan pembangunan teknikal saintifik.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata ia berdasarkan tawaran program diploma dan sijil yang berteraskan kepada elemen TVET kepada pelajar bagi memenuhi kehendak pasaran yang telah bermula pada tahun 2021.

“Ini secara tidak langsung Kolej Ketengah mampu melahirkan graduan yang berpotensi tinggi dalam kebolehpasaran graduan yang kompeten dan dilengkapi dengan kemahiran teknoprenuer, kreatif, versatile, hands-on dan inovasi teknikal supaya menjadi pilihan utama majikan pada masa akan datang.

"Justeru itu, saya berharap mutu pengajaran dan pembelajaran di Kolej Ketengah dapat dikekal dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa agar kekal releven bagi memenuhi keperluan daripada stakeholder, iaitu sektor awam dan pihak swasta," ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media Majlis Konvokesyen Ke-3 Kolej Ketengah di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Pada majlid tersebut seramai 648 graduan masing-masing menerima diploma dan sijil yang terdiri daripada 404 orang penerima diploma dan 244 orang penerima sijil.

Dalam perkembangan sama, Mahdzir berharap graduan Diploma ini dapat menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah berikutan mahu melahirkan lebih ramai guru tabika kemas mempunyai ijazah pendidikan awal kanak-kanak.