• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Kolokium YDP DUN Pantai Timur Realisasi Muafakat Nasional






 KUALA TERENGGANU, 17 September – Kolokium bersama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Timur yang melibatkan Terengganu, Kelantan dan Pahang menjadi detik permulaan dalam merealisasikan Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO yang baharu dibentuk untuk manfaat bersama.

Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata fokus utama kolokium ini ialah bagi bertukar fikiran dan pengalaman untuk memperkasakan badan legislatif atau DUN di negeri masing-masing.


“Ianya lebih  untuk merealisasikan muafakat ummah yang  di tandatangani baru-baru ini  supaya kerajaan yang dipimpin oleh PAS  mahupun UMNO …kita akan usahakan untuk menjadi sebuah kerajaan  yang kuat dan sihat.

“Melalui peranan badan legislatif yang dilihat sebagai rakan kongsi kepada badan eksekutif, ia (DUN) mesti dilihat sebagai pembantu badan tersebut bagi menguatkan kerajaan.

"Kita tidak mahu timbul isu dalam soal kuasa atau semak dan imbang yang ekstrem seumpamanya dengan badan eksekutif," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media Program Kolokium bersama Yang dipertua DUN Pantai Timur (Terengganu, Kelantan, Pahang) serta rombongannya di Dewan Gamelan 3 di Hotel Primula, di sini hari ini.



Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat

Turut hadir, Yang Dipertua DUN Kelantan, Dato' Abdullah Yaakub dan Yang Dipertua DUN Pahang, Dato' Seri Ishak Muhamad.

Tambahnya, kolokium ini akan dilanjutkan di Kelantan dan Pahang pada satu tempoh tertentu dan secara bergilir-gilir bagi memperkasakan sidang dewan melalui perbincangan yang diadakan.

“Apa yang kita bincang pada hari ini lebih kepada soal penyelarasan beberapa perkara yang berkait dengan pengurusan, perjalanan sidang dewan  bajet, speaker dan seumpamanya.

“Yang pada saya, ada yang baik di Terengganu dan ada yang baik di Kelantan dan Pahang…kita kongsi bersama.Yang boleh kita selaraskan, kita selaras sebagai mukadimah dalam memperkasakan ketiga negeri di pantai timur dan Insha Allah akan datang kita libatkan Perlis bersama,” ujarnya.


Tag: