• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kompleks Sukan Hulu Terengganu Dijangka Siap September Ini

KUALA TERENGGANU, 31 Mac- Pembinaan Kompleks Sukan Hulu Terengganu yang benilai RM50 juta kini hampir siap dan dijangka boleh digunakan September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihak kontraktor kini sedang melaksanakan kerja-kerja akhir di kompleks berkenaan yang mula dibina sejak 2015.

“Saya dimaklumkan oleh pihak kontraktor sebanyak 95 peratus pembinaan kompleks ini telah siap dan dijangka bulan september akan datang siap sepenuhnya.

“Terdapat juga beberapa fasiliti sukan yang telah siap sepenuhnya seperti gelanggang hoki, padang bola sepak, trek olahraga dan gelanggang boling padang,” kongsinya dalam laman facebook rasmi beliau selepas melakukan lawatan ke kompleks tersebut, baru-baru ini.

Menurut Wan Sukairi, antara fasiliti sukan lain yang disediakan di kompleks tersebut termasuklah dewan badminton serta gelanggang boling yang mempunyai 12 lorong.

“InsyaAllah, mudah-mudahan segala kerja untuk menyiapkan kompleks ini akan berjalan dengan lancar dan dapat digunakan oleh masyarakat tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, Kompleks Sukan Wakaf Tapai yang mula dibina pada Mac 2017 pula dijangka dapat dapat disiapkan sepenuhnya Jun ini.

“Alhamdulillah, saya cukup berpuas hati dengan kerja-kerja menyiapkan kompleks ini yang telah hampir siap keseluruhannya. 

“Terdapat gelanggang badminton, boling, taman permainan dan tempat rekreaksi, dengan siapnya kompleks ini nanti pasti akan memberi manfaat yang besar buat penduduk sekitar untuk beriadah,” ujarnya.