• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kompleks Sukan Hulu Terengganu, Jabi Bakal Siap Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 17 November - Kompleks Sukan Hulu Terengganu, Kuala Ping dan Jabi, Setiu dijangka akan siap sepenuhnya pada akhir tahun 2020 dengan kerja-kerja pembinaan kedua-dua kompleks sukan tersebut, setakat ini berjalan lancar dan mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek pembinaan kompleks sukan berkenaan merupakan antara beberapa projek yang telah pun dipersetujui untuk dibuat dengan pembiayaan daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

"Antaranya projek pembinaan Kompleks Sukan di Jabi, Setiu yang bersempadanan dengan Besut menelan kos sebanyak RM6.2 juta. Untuk makluman, sehingga sekarang ini, projek pembangunan di Jabi ini telah pun mencapai kemajuan 82 peratus pembinaan fizikalnya.

"Insya-Allah kita jangka 7 Disember ini projek ini akan siap sepenuhnya. Di samping itu, projek kedua adalah projek pembinaan Kompleks Sukan Hulu Terengganu di Telemong yang menelan belanja sebanyak RM5.39 juta.

"Maklumat terkini yang saya dapat pembinaannya juga telah pun siap sebanyak 63 peratus. Dijangka akan siap pada akhir tahun ini juga dalam pertengahan Disember," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini semalam.

Justeru itu, menurut Wan Sukairi, banyak kemudahan sukan yang boleh digunakan oleh orang ramai sejurus selepas pembinaan kompleks sukan tersebut siap.

Untuk rekod, kompleks itu adalah kemudahan sukan yang kedua dan ketiga untuk rakyat Terengganu selepas Velodrom Azizulhasni Awang di Dungun diumumkan, sebelum ini.


Tag: