• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Kompleks Sukan, Masjid Antara Projek Baharu Di Marang Terengganu

Program MB Maghi Kapung Kite beri peluang rakyat faham matlamat kerajaan negeri.
MARANG, 24 Februari - Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan sebuah masjid dan kompleks sukan mini bakal dibina di daerah Marang.

Berita gembira berkenaan diumumkan beliau ketika berucap dalam program MB Maghi Kapung Kite di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini.

Menurut Dr. Samsuri, pembinaan kompleks sukan bernilai RM4 Juta itu merupakan satu daripada 10 projek Kementerian Belia dan Sukan Malaysia yang diluluskan untuk negeri Terengganu bagi tahun 2019.

“Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam kunjungannya ke Terengganu baru-baru ini meluluskan sembilan projek bernilai RM60 juta iaitu bagi projek yang baharu dan projek yang tertangguh selepas pertukaran Kerajaan Pusat.

“Lebih menarik, kita juga menerima tambahan satu lagi projek iaitu kompleks sukan mini buat warga Marang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, sebuah masjid yang bakal dibina merupakan sumbangan daripada pihak persendirian.

“Seorang individu Muslim bertemu kami (kerajaan negeri) dan menyatakan hasratnya untuk menyumbangkan sebuah masjid bagi negeri ini serta kami telah bersetuju, ia akan dibina di daerah Marang, tetapi lokasinya belum ditetapkan,” katanya.

Kepimpinan negeri bersama penduduk Marang merakamkan gambar kenangan.
Dalam program tersebut, Dr. Samsuri yang merupakan Pengerusi Syarikat Air Terengganu (SATU) Sdn. Bhd. turut mengumumkan kesediaan SATU menyediakan saluran paip bagi ‘mini musolla’ di kawasan nelayan Seberang Marang yang bernilai RM170,000 setelah dimaklumkan berkenaan masalah tersebut oleh penduduk yang hadir.

Turut hadir dalam program tersebut ialah isteri beliau, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.


Tag: