• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Konsep Keluarga Malaysia Lahirkan Kesejahteraan Dan Kestabilan

KUALA NERUS, 4 Jun - Konsep Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif mampu menyatupadukan rakyat dalam mencapai kesejahteraan ekonomi dan kestabilan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata konsep yang diperkenalkan 22 Ogos 2021 merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum dengan menggariskan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

"Secara tidak langsung, mengajak rakyat Malaysia untuk mengenepikan perbezaan dalam memulihkan semula 
negara, bagi menggembleng tenaga dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang sebagai sebuah keluarga yang saling melengkapi antara satu sama lain.

"Kesejahteraan dan kestabilan inilah yang akan kita wariskan kepada anak cucu kita pada masa akan datang," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup JAKM di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini hari ini.

Terengganu merupakan negeri keempat bagi siri Jelajah AKM selepas Johor, Perlis dan Sabah dengan jumlah pengunjung melebihi 21,745 orang sepanjang tiga hari penganjurannya.