• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Konsert Tular : Kerajaan Minta Penjelasan Pengurusan UMT

KUALA TERENGGANU, 14 Jun - Kerajaan Terengganu akan meminta penjelasan daripada pihak pengurusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhubung video tular sekumpulan mahasiswa sedang rancak menari ketika berhibur. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata pihaknya kesal dengan kejadian berkenaan kerana ternyata ia telah melanggar garis panduan hiburan yang ditetapkan kerajaan negeri.

"Tidak patut perkara ini berlaku di sebuah universiti, lagipun ia masih tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri walaupun dilakukan dalam kawasan persendirian (universiti) masih lagi terikat dengan garis panduan dan dasar-dasar kerajaan negeri,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program 'Kick-Off TI-BSaS Aeronautics UAV In-School Programme, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri tidak menghalang sebarang acara hiburan ataupun konsert diadakan namun ia mestilah perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

"Kita telah mengedarkan  Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah kepada semua jabatan serta seluruh agensi kerajaan sebagai rujukan," ujarnya.