• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kontinjen Sukan Sea Terengganu Terima 'Durian Runtuh'

KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Kerajaan Terengganu 'menghadiahkan' RM143,000 kepada 57 atlet, jurulatih dan pegawai yang menyertai Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM86,000 diperuntukkan kepada 27 atlet sebagai Insentif Skim Hadiah Kemenangan (Shake) atas kejayaan meraih pingat pada temasya sukan tersebut.

Selain itu katanya, Insentif Skim Wakili Negara (Swara) berjumlah RM57,000 turut diberikan kepada 30 lagi atlet, jurulatih dan pegawai anak negeri yang mewakili negara dalam pelbagai acara sukan.

Wan Sukairi berkata, insentif berkenaan adalah sebagai penghargaan kepada atlet dari negeri ini yang beraksi cemerlang pada Sukan Sea di Vietnam pada Mei lalu.

“Diharapkan insentif ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat atlet untuk beraksi di kejohanan Sukma Ke-20 di Kuala Lumpur pada September nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pemasyhuran Ketua Kontinjen (CDM) Terengganu, Sukma Edisi Ke-20, MSN 2022 Dan Penyerahan Insentif Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) Sukan Sea Ke-31, Vietnam 2021 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, hari ini.

Pada majlis itu, kerajaan negeri turut mengumumkan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak sebagai ketua kontinjen Terengganu ke Sukma Ke-20.