• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kontraktor Tambahan Segerakan Proses Naik Taraf Paip

KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Sebanyak tiga lagi subkontraktor menjadikan enam subkontraktor akan bekerjasama menyiapkan pemasangan paip bagi Projek Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (KTU) di Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, ia menjadikan sasaran projek tersebut siap menjelang 2023 semakin cerah.

“Sekarang ini dalam proses pembinaan paip yang baru ke Marang dengan jarak 24 kilometer dan kita serah kepada enam kontraktor untuk disiapkan juga sebelum berakhir tahun 2022 ini.

“Jadi sekiranya projek pemasangan paip ini dapat diselesaikan, air akan dapat di salurkan ke kawasan Marang,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Bekalan Air KTU di Pejabat Tanah Projek Bekalan Air KTU, Tepoh sebelum ke loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit dan Kepong 2 semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ts Abdul Karim Endut dan Ketua Pegawai Operasi Konsortium KAJV Sdn Bhd, Ir Abdul Samad Sulaiman.

Dr Mamad turut memaklumkan bahawa LRA Bukit Berapit akan memulakan operasi kira-kira sebulan lagi setelah selesai menjalani ujian aliran air.

Dalam masa yang sama, beliau meminta pengguna jalan raya yang terlibat dengan pemasangan paip bersabar dengan struktur jalan sementara yang tidak sempurna.

”Kita harap masyarakat bersabar dengan keadaan jalan sementara tersebut. Dan kita akan letakkan ‘signboard’ menyatakan bahawa jalan ini dalam pembinaan.

“Apabila aliran air dalam paip bawah tanah itu diuji sepenuhnya barulah kita dapat turap seeloknya seperti sediakala dan insya-Allah akan memberi keselesaan kepada penduduk,” tambahnya.

 


Tag: