• 21 Mei 2022 | 19 Syawal 1443

Konvokesyen Secara Bersemuka Babitkan 3,345 Graduan UniSZA, Ahad Ini

KUALA NERUS, 18 Januari – Seramai 3,345 graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi tahun 2020 akan diraikan di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Kali ke-12  secara bersemuka selama lima hari bermula 23 hingga 27 Januari depan. 

UniSZA dalam satu kenyataan  memaklumkan, konvokesyen akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Sebanyak sepuluh sidang dijadualkan akan berlangsung bermula dari Ahad ini, bertempat di Dewan Al Muktafi Billah Shah (DABS), UniSZA Gong Badak," ujarnya.

Dalam masa yang sama, satu festival maya sempena Majlis Idul Ilmi Konvokesyen turut berlangsung selama lima hari bermula Ahad ini.

Katanya pelbagai aktiviti menarik sepanjang Festival Maya ini antaranya Pertandingan Membaca Berita, Penulisan Khat, Mewarna, Fotografi, e-Sport dan Tarannum Al-Quran.

Sehubungan itu, UniSZA menjemput orang ramai untuk turut serta bagi memeriahkan lagi festival yang berlangsung secara dalam talian ini di platform You Tube dan Facebook.