• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Koperasi Luaskan Peranan, Sertai Pasar Tani Hiliran

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong Merasmikan Majlis Pra Pelancaran Hari Koperasi Negara 2017 Peringkat Negeri Terengganu. Foto oleh Tg. Syamim Tg. Ismail.

Koperasi meluaskan skop penubuhannya apabila membuka 10 gerai di Tapak Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu bermula 3 Ogos hingga 10 Ogos ini .
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong berkata, kerajaan negeri menyokong sepenuhnya atas usaha-usaha yang dilakukan oleh koperasi selaras dengan agenda transformasi ke arah kesejahteraan.
“Dengan pogram yang diadakan ini, saya melihat koperasi banyak membuat perubahan dengan mengembangkan skopnya membuka 10 gerai di tapak pasar tani ini.
“Saya percaya dengan 700 buah koperasi yang kini ahlinya hampir setengah juta orang merupakan satu perkembangan yang baik dari koperasi. Malah, koperator Terengganu sering kali mendapat anugerah koperator yang terbaik di Malaysia.
“Saya turut menyeru kepada sesiapa yang belum menjadi ahli Koperasi untuk bergiat aktif dalam bidang ini kerana banyak peluang yang akan diperolehi sekiranya anda masuk menjadi ahli Koperasi,” beliau berkata demikian dalam sidang media Pra Pelancaran Hari Koperasi Negara 2017 Peringkat Negeri Terengganu di Tapak Pasar Tani, Padang Hiliran, Kuala Terengganu, pagi tadi.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu, Mohd Ruslan Awang berkata Koperasi telah lama terlibat dalam perniagaan di Pasar Tani tersebut. Walaubagaimanapun, koperasi cuba untuk terus mengembangkan dengan menubuhkan lebih banyak gerai di masa akan datang.
“Koperasi juga berharap agar Pasar Tani Padang Hiliran akan menjadi tempat para koperator untuk mengasuh bakat mereka dalam perniagaan,”katanya.
Antara badan koperasi yang terlibat ialah Koperasi Rukun Tetangga Telaga Batin Terengganu Berhad, Koperasi Peka Malaysia Berhad, Koperasi Mesra-Net Terengganu Berhad, Koperasi Warisan Keluarga Othman Kuala Terengganu Berhad, Koperasi TKPM Besut Berhad, Koperasi Kakitangan Ziq Terengganu Berhad, Koperasi As Salam Terengganu Berhad, Koperasi Pertis Terengganu Berhad dan Koperasi Kecantikan dan Spa Terengganu Berhad.

Tag: