KUALA TERENGGANU, 22 Mac – Kerajaan Negeri Terengganu menyeru rakyat supaya mengamalkan perbelanjaan secara berhemah susulan kenaikan mendadak harga bahan api yang dijangka memberi kesan kepada kos sara hidup ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, peningkatan harga diesel dan petrol berpunca daripada ketidaktentuan pasaran global susulan konflik di Asia Barat.
Katanya, bagi tempoh 19 hingga 25 Mac, harga diesel meningkat kepada RM4.72 seliter berbanding RM3.90 sebelum ini, manakala RON97 turut mencatatkan kenaikan kepada RM4.55 seliter daripada RM3.85.
“Lonjakan harga ini memberi kesan langsung kepada kos pengangkutan, khususnya melibatkan kenderaan diesel, sekali gus berpotensi menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan asas seperti beras, tepung gandum dan minyak masak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, sebelum ini kenaikan harga bahan api adalah minimum iaitu sekitar dua hingga lima sen seliter, namun sejak awal bulan ini, peningkatan ketara antara lapan hingga 80 sen seliter mula direkodkan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat di negeri ini agar mengutamakan pembelian barangan keperluan harian dan mengurangkan perbelanjaan tidak penting bagi mengelakkan tekanan kewangan.
Dalam pada itu, katanya, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini wajar diraikan secara sederhana tanpa pembaziran sebagai langkah menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
Tambahnya, Kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memantau peniaga yang menaikkan harga barangan secara tidak munasabah.
“Peniaga perlu mematuhi harga kawalan yang ditetapkan serta membuat semakan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan tindakan undang-undang,” ujarnya.
Beliau turut menggesa semua pihak supaya menjadi pengguna dan peniaga yang bijak dengan mengamalkan penjimatan serta mengurus sumber kewangan secara berkesan dalam menghadapi cabaran kenaikan harga akibat ketidaktentuan global.
Tag :