• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kos Haji Tidak Bebankan Jemaah

MARANG, 12 Disember- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad memberi jaminan, penetapan kos ibadah haji bagi musim ini tidak akan membebankan jemaah dan pada masa yang sama masih menjaga kepentingan pendeposit lain.

Katanya, keputusan mengenai sama ada berlakunya kenaikan kos pelaksanaan ibadah haji bagi musim ini atau tidak susulan peningkatan kos semasa akan diputuskan Kabinet selewat-lewatnya, Januari depan.

“Kos haji belum lagi kita muktamadkan, insya-Allah apa yang kita akan putuskan adalah situasi menang-menang supaya tidak membebankan kedua-dua pihak iaitu jemaah dan pendeposit Tabung Haji (TH),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli : Musa'adah Asnaf di Masjid Padang Mengkuang, di sini, hari ini.

Kata Idris, TH memperuntukkan kos sehingga RM400 juta bagi menampung kos subsidi jemaah dan adalah wajar juga untuk memastikan kepentingan pendeposit diambil kira.

Sementara itu, megulas mengenai program tersebut katanya, bantuan yang disampaikan kepada 80 keluarga terpilih di kawasan masjid terbabit merupakan satu usaha yang berterusan pihak YADIM.

Jelas beliau, program berkenaan merupakan salah satu inisiatif pihaknya untuk membantu asnaf dan mualaf yang terkesan akibat pandemik COVID-19 serta mereka yang dikenalpasti memerlukan bantuan.