• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KOSPA Sasar Jualan RM300 Ribu Sempena Karnival i-Spa


KUALA TERENGGANU, 22 November - Koperasi Kecantikan dan Spa Terengganu Berhad (KOSPA) mensasarkan jualan sebanyak RM300 ribu sepanjang empat hari berlangsungnya Karnival i-Spa & Wellness 2018 pada 29 November hingga 2 Disember ini.

Pengerusi KOSPA negeri, Zaliha Abu Bakar berkata, jumlah sasaran tersebut termasuk jualan secara langsung kepada pengunjung dan padanan perniagaan antara pihak industri sama ada dalam serta luar negeri.

Katanya, setakat ini 69 pengusaha Spa mengesahkan penyertaan dalam karnival yang akan berlangsung di Terengganu Trade Centre (TTC) dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

"Melalui pameran dan jualan yang diadakan, orang ramai juga dapat mengetahui mengenai produk, perkhidmatan dan kaedah promosi berkesan dalam bidang kecantikan.

"Selain itu, karnival ini juga menjadi platform untuk menyampaikan maklumat mengenai kosmetik buatan tempatan dan rawatan kecantikan termasuk ceramah keagamaan," ujarnya kepada pemberita di sidang media Pra Pelancaran dan Mini Hi-Tea Karnival I-Spa & Wellness di Sumai Hotel, Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Zaliha Abu Bakar.
Menurut Zaliha, karnival ini sebagai salah satu usaha memberi pendedahan kepada orang ramai tentang industri Spa dan produk kecantikan serta selok-belok dunia perniagaan dalam bidang kecantikan.

"Ia dirancang dan dilaksanakan bagi memperkenalkan, mempromosi dan memperluaskan akses pasaran, memartabatkan produk serta perkhidmatan luar bandar,"katanya lagi.

Karnival yang bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu dijangka akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman pada 29 November ini.

Pelbagai aktiviti dirangka sepanjang karnival berlangsung antaranya pertandingan mewarna, forum bisnes bersama PU Azman dan Lidyawati, bengkel kecantikan dan persembahan artis terkenal Dato' Nassier Wahab serta ceramah keagaman oleh PU Amin.

Selain itu, karnival tersebut turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah sepanjang empat hari dengan cabutan utama lima keping jongkong emas yang keseluruhannya bernilai RM3,000.







Tag: