• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kotor, Kedai Ikan Celup Tepung Diarah Tutup

SETIU, 5 September – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengarahkan sebuah premis makanan laut yang sinonim dengan produk ikan celup tepung di daerah ini di tutup tidak melebihi 14 hari  di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, arahan itu dikeluarkan dalam Operasi Persisir Pantai Daerah Setiu yang diadakan di daerah berkenaan semalam.

“Sebanyak 24 premis makanan di sepanjang Jalan Pantai bermula dari Kampung Penarik sehingga Kampung Rhu Sepuluh telah diperiksa di mana satu premis diarahkan ditutup kerana tahap kebersihan premis dibawah tahap minimum yang ditetapkan iaitu berada dibawah markah penilaian 60 peratus. 

“Kita juga dapati persekitaran premis makanan tidak bersih dan tidak terurus, pengendali makanan yang tidak diketahui status kesihatan dan tiada pelalian anti-tifoid serta tidak menitik beratkan kebersihan diri.

“Selain daripada itu, sebanyak  23 notis kehadiran di mahkamah bagi kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM7,200,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Kasemani juga berkata, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan melalui perlaksanaan sepenuhnya Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 akan diadakan secara berterusan bagi melindungi kepentingan awam.

“Pemeriksaan secara berterusan itu juga bertujuan untuk mendidik warga penjaja dan peniaga supaya mengamal dan mengutamakan kebersihan di premis masing-masing pada setiap masa.

“Dalam masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya memilih premis makanan yang bersih dan sentiasa amalkan tabiat perhati dan pilih sebelum melanggan makanan di premis makanan tertentu,”ujarnya.