• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KPDN Tahan Dua Lelaki Bersama 32,670 liter Diesel

KUALA TERENGGANU, 15 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya menahan dua lelaki yang membawa lari minyak diesel berkuantiti 32,670 liter.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM510,434.

Katanya, KPDN juga turut merampas sebuah lori tangki, beberapa tangki simpanan berisi minyak diesel serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan pemindahan minyak diesel.

“Serbuan itu dijalankan di sebuah tapak projek pembinaan menerusi Ops Tiris.

“Operasi itu dilaksanakan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Terengganu yang bermula kira-kira jam 3.30 petang itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan selama dua (2) minggu sebelum itu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Tambah Saharuddin, dua orang individu terbabit ditahan ketika ditemui di dalam premis bagi membantu siasatan.

“Ia seorang lelaki warga tempatan berumur 30an yang juga mengaku sebagai pemandu lori berkenaan bersama seorang lagi individu berumur 40an yang juga warganegara,” katanya.

Beliau berkata, minyak diesel, kenderaan lori tangki, tangki simpanan, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta,” ujarnya.

 

 

 


Tag: