• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

KPDNHEP Cadang Kit Ujian COVID-19 Sebagai Barang Kawalan

HULU TERENGGANU, 3 Ogos - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini dalam proses menjadikan kit ujian COVID-19  sebagai barang kawalan di negara ini.

Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata cadangan itu berdasarkan maklum balas yang diterima dari orang ramai ketika ini, harga kit ujian tersebut agak membebankan terutama pada golongan berpendapatan rendah.

"Kita dapat maklumat harganya RM39.90 setiap satu, tidak ramai yang mampu membelinya jadi ia akan membebankan pengguna sekiranya terpaksa membeli lebih dari satu unit sekiranya mempunyai ahli keluarga ramai.

"Jadi, kita sedang buat advokasi dengan pengilang, pengimport dan penjual untuk dapatkannya pada harga yang munasabah agar pelaksanaan ini tidak merugikan peniaga dan tidak bebankan rakyat. 

"Kita harap harganya nanti akan mampu dibeli oleh semua orang....di samping itu peranan kita juga adalah untuk pastikan kit ujian ini tidak ada yang tiruan. Kita bimbang ada yang cuba hasilkan barang tiruan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Bading di sini hari ini.

Seramai 360 penduduk felda tersebut menerima vaksin COVID-19 mereka melalui program tersebut. 

Tambahnya lagi, jika sudah diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga 1946, tindakan boleh diambil kepada pembekal yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.