• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KPDNHEP Jamin Bekalan Telur Pulih Dalam Masa Terdekat

KUALA TERENGGANU, 29 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu memberi jaminan bekalan telur ayam di pasaran negeri ini pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, bekalan telur setakat hari ini sudah pulih 60 peratus hasil tinjauan yang dilakukan oleh Pegawai Penguat Kuasa dan Pegawai Pemantau Harga di 13 syarikat pemborong telur.

"Hasil tinjauan juga mendapati kesemua mereka menerima bekalan 100 peratus seperti biasa.

"Kesemua bekalan telur ayam tersebut kini dalam proses pengagihan kepada peruncit-peruncit di seluruh negeri Terengganu.

"Insyaallah, masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran Terengganu hampir pulih sepenuhnya," katanya kepada pemberita.

Sehubungan itu katanya, orang ramai tidak perlu lagi membuat pembelian panik kerana bekalan telur ayam akan kembali stabil seperti biasa tidak lama lagi.

Sementara itu, tinjauan di beberapa pasaraya sekitar bandaraya ini mendapati bekalan telur telah pun kembali pulih seperti biasa namun masih agak sukar diperolehi di kedai-kedai runcit biasa.