• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

KPDNHEP Mohon Pertimbang Kebenaran Operasi Kedai Alat Tulis

HULU TERENGGANU, 20 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu mengemukakan permohonan supaya premis alat tulis  dibenarkan beroperasi  sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata, permohonan itu akan dikemukakan kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Dato Seri Ismail Sabri Yaakob atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dibincangkan dalam mesyuarat yang terdekat.

Katanya, beliau difahamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga telah mengemukakan permohonan sama kepada MKN kelmarin.

"Kedai alat tulis serta barangan persekolahan termasuk fotostat wajar dibenarkan beroperasi semasa sekolah ditutup dan kelas berjalan di rumah.

"Ini merupakan antara permintaan ibu bapa bagi memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya.

Rosol berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas Sekatan Jalanraya (SJR) di Kampung Tajin, hari ini.

Justeru itu katanya, beliau berkeyakinan permohonan pembukaan semula kedai alat tulis dan fotostat tersebut akan diputuskan MKN pada masa terdekat.