• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KPDNHEP Sasar 1,500 Pemain Sektor Peruncitan, Pengedaran Divaksin Sehari

HULU TERENGGANU, 11 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mensasarkan lebih 1,500 pemain industri perdagangan, pengedaran dan peruncitan di seluruh negara diberi suntikan vaksin COVID-19 setiap hari bermula 26 Julai ini.

Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata ia bagi memastikan sektor peruncitan dipulihkan dan dibuka sepenuhnya secepat mungkin dan ini akan hanya dapat dicapai jika pemberian vaksin kepada semua barisan ekonomi dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Katanya, peringkat permulaan seramai 186 ribu pekerja dari 1,400 syarikat seluruh negara yang sudah berdaftar di bawah  Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) akan menerima suntikan pertama jenis Sinovac selepas pelancaran pada 26 Julai ini.

"Pelancaran RiVAC  selepas hari raya haji ini untuk juruwang, stesen minyak, tukang gunting, pekerja pasaraya dan peruncitan di Mid Valley, Kuala Lumpur  yang mana bagi memastikan sektor peruncitan ini menyediakan perkhidmatan yang selamat kepada pengguna.

"Selepas suntikan pertama di ibu negara, ia diperluaskan ke peringkat negeri dalam masa terdekat,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang di pekarangan Balai Raya Kampung Tajin di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri, (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh.

Sebanyak 4,000 bakul makanan akan diagihkan setiap DUN di Parlimen itu yang mana setiap dun akan menerima 1,000 bakul makanan.

Tambah Rosol lagi, tiada jumlah khusus bekalan vaksin yang diperuntukkan kepada kumpulan ini, sebaliknya mengikut keperluan mereka.

"Langkah itu bagi memastikan pekerja dalam sektor berkenaan tidak tercicir dari menerima suntikan imunisasi seterusnya dapat membendung penularan COVID-19,"katanya.