• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

KPDNHEP Terengganu Catat 504 Kes Libatkan Pelbagai Akta

Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin mengiringi Exco Kerajaan Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman meninjau bekalan telur di Pasaraya Xiri, Gong Datok sempena  SKHMP Krismas hari ini.
KUALA NERUS, 23 Disember - Sebanyak 504 kes dicatatkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melibatkan peniaga yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 di Terengganu.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, keseluruhan kes itu melibatkan nilai rampasan sebanyak RM601,419.20 manakala nilai denda sebanyak RM203,800 dan nilai kompaun yang dikeluarkan sebanyak RM87,900 sehingga 23 Disember tahun ini.

Jelasnya, jumlah pemeriksaan yang dijalankan pada tahun ini meningkat sebanyak 32.60 peratus iaitu 36,295 daripada 24,419 pada tahun lepas di 7,613 premis di seluruh negeri dalam tempoh tersebut.

"Pemeriksaan yang dijalankan adalah merangkumi pemeriksaan harian, pemeriksaan susulan daripada aduan diterima, pemeriksaan berkala dan pemeriksaan bermusim.

"Daripada jumlah itu, Kemaman mencatatkan jumlah rampasan tertinggi iaitu RM330,186 dan diikuti daerah Kuala Terengganu dengan nilai rampasan RM152,590, Besut RM116,875 dan Dungun sebanyak RM1,767," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media sempena pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Krismas di Pasaraya Xiri di Gong Datok, Gong Badak di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini berkata, beliau berpuas hati dengan tinjauan harga yang telah dilakukan oleh pihak KPDNHEP terhadap premis-premis yang terdapat di negeri ini.

"Seperti tinjauan di Pasaraya Xiri hari ini, kita dapati dari segi harga tidak melebihi dari harga yang ditetapkan dan beberapa harga yang kurang daripada harga maksimum.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya ucapkan terima kasih kepada pasaraya yang sambut saranan kerajaan dan kita mengharapkan lebih banyak pasaraya sambut kempen yang dianjurkan oleh KPDNHEP ini," ujarnya.


Tag: