• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

KPDNHEP Terengganu Isytihar 16 Barangan Kawalan




BESUT, 21 Januari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunaan (KPDNHEP) Terengganu menyenaraikan 16 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2020 bermula 20 Januari hingga 2 Februari ini.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, barang kering, hasil laut, ubi kentang dan daging babi.

Katanya, dalam tempoh kawalan harga selama 14 hari itu, harga barangan yang disenaraikan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011.

"Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan demi manfaat pengguna dan peniaga.


“Kawalan harga itu merupakan satu langkah serius kerajaan dalam menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan bersama Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman di Pasar Raya Giant, Jerteh, Besut, semalam,

Menurutnya, bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab, tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011 akan dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan secara mendadak dan ketara.

“Pada masa sama, pihak kami  akan membuat pemantauan bagi memastikan bekalan barangan mencukupi dan memastikan harga barangan berpatutan.


"Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP akan berada di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai membeli belah untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan," ujarnya.

Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini berharap pemborong dan peniaga di negeri ini tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan harga yang tinggi.

“Sekiranya itu berlaku, pastinya akan membebankan pembeli, selain harga makanan seperti kuih-muih dan pelbagai menu yang menggunakan barangan kawalan akan berlaku kenaikan harga,” katanya.



Tag: