• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KPDNHEP Terengganu Rampas 571 Pakaian Berjenama


MARANG, 5 Februari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu (KPDNHEP) berjaya merampas 571 helai pakaian bernilai RM19,985 yang dipakaikan cap dagangan secara salah menggunakan jenama Adidas melalui Ops Jeriji yang dijalankan bersama wakil pemilik cap dagang berdaftar.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Nor Azmi Lamisza berkata, dua lelaki telah ditahan di premis perniagaan yang diserbu di Bukit Payung, Marang bagi membantu siasatan.

Katanya, ia adalah hasil risikan dan aduan pemilik cap dagang yang kemudiannya berjaya 
membongkar aktiviti peniaga yang tidak beretika dan ingin mendapatkan keuntungan dengan cara yang mudah sehingga mengabaikan kepentingan pengguna.

“Hasil pemeriksaan di premis pertama di Jalan Kuala Berang, pihak kami merampas sejumlah 139 helai baju jersi dan 192 helai seluar yang dipakaikan cap dagangan secara salah dengan nilai rampasan dianggarkan RM11,585.

“Sejumlah 240 helai seluar turut dirampas di premis kedua yang terletak di Pekan Bukit Payong dengan anggaran nilai sitaan RM8,400.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagang 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 100(1)(ii) di bawah akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga  tahun atau kedua-duanya,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.


Tambahnya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, pihak KPDNHEP negeri menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih pakaian berjenama dalam pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika dan cuba mengambil keuntungan yang mudah.


KPDNHEP turut mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan maklumat melalui saluran yang telah ditetapkan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

i)                    Talian Bebas Tol 1-800-886-800
ii)                   Aduan melalui aplikasi whatsapp 019-279 4317  
Iii)          Aduan secara atas talian http://eaduan.kpdnhep.gov.my
iv)          SMS aduan ke 15888 dengan menaip KPDNHEP ADUAN
v)           Aplikasi telefon pintar EZAdu KPDNHEP
vi)          Media Sosial Tweeter dan Facebook KPDNHEP
vii)         Lapor/ hadir sendiri ke pejabat terdekat.


Tag: