• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

KPDNHEP Terengganu Tahan Tiga Individu Jual Pakaian Berjenama Tiruan

DUNGUN, 6 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Dungun telah menahan tiga orang lelaki warga tempatan yang disyaki menjual pakaian tiruan menerusi Ops Jeriji di tiga buah premis perniagaan berbeza di sini.

Ketua Cawangannya, Muhammad Khairuddin Ali berkata, dalam serbuan yang dijalankan kira-kira jam 8.15 pagi itu, sejumlah 1,224 helai pakaian yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah bernilai RM30,230 telah berjaya dirampas.

"Operasi yang dijalankan adalah susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki pakaian berkenaan adalah tiruan. Wakilnya turut menyertai serbuan yang dijalankan.

"Mereka berjaya membongkar aktiviti peniaga yang tidak beretika semata-mata untuk mendapatkan keuntungan dengan cara yang mudah sehingga mengabaikan kepentingan pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga orang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 35 tahun itu telah ditahan di tempat kejadian bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii) di bawah akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, kata Khairuddin, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, KPDNHEP Terengganu menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama dalam pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika yang cuba mengambil keuntungan dengan cara mudah. 


Tag: