• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KPWKM, KKM Kerjasama Tangani HFMD

KUALA TERENGGANU, 21 Mei- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani penularan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, walaupun HFMD dikesan banyak berlaku di Selangor, pencegahan perlu dilakukan supaya tidak merebak ke negeri lain.

"Kalau kita lihat kes HFMD sekarang ini banyak di Selangor. Tapi kita perlu ambil langkah berjaga-jaga supaya tidak merebak ke negeri lain.

"Di peringkat kementerian, kita bekerjasama dengan KKM supaya dapat memantau keadaan di taska-taska. Peringatan akan sentiasa diberikan supaya taska memberi perhatian terhadap isu ini (HFMD)," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Wanita Bangkit@KWPKM di Hotel Primula, semalam.

Katanya, pengusaha taska juga perlu sentiasa menitik berat aspek kebersihan dan tidak menerima kanak-kanak yang dikesan memiliki simptom penyakit berkenaan.

"Selain itu, ibu juga perlu memainkan peranan menjaga tahap kebersihan anak ketika berada di rumah.

"Jika lihat anak-anak ada simptom awal, mungkin ada ruam-ruam merah naik dibadan dan sebagainya elak dari anak ini dihantar ke pusat penjagaan sebaliknya terus mendapatkan rawatan doktor," katanya.

Tambah Rina, dengan adanya pencegahan awal bukan sahaja daripada pengusaha taska tetapi ibu bapa dapat mengelakkan penularan HFMD berlaku.