Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan untuk membantu seramai 25,000 wanita melalui Program Wanita Bangkit@KPWKM sehingga Disember ini.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sejak dilancarkan tahun lepas, seramai 17,125 usahawan wanita terutamanya suri rumah, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) telah mendapat manfaat menerusi inisiatif tersebut.
"Ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memartabatkan golongan wanita dalam aspek sosio-ekonomi. Pihak NGO dan syarikat serta orang perseorangan adalah amat dialu-alukan untuk melaksanakan program-program bersesuaian untuk manfaat kumpulan sasar khususnya wanita.
"Diharapkan dengan adanya kerjasama ini, golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 khususnya wanita dapat dibantu dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kursus bimbingan perniagaan yang dihadiri 231 peserta program MyKasih Kapital yang merupakan sebuah inisiatif di bawah Program Wanita Bangkit@KWPKM di Hotel Primula, semalam.
Katanya, peserta MyKasih Kapital akan dinilai, dipantau dan akan mengikuti kursus-kursus bersesuaian bagi mempersiapkan diri dalam menceburi bidang perniagaan.
"Antara bidang yang boleh diceburi bagi memulakan perniagaan seperti e-dagang, dropship, perniagaan kecil-kecilan yang bukan di bawah skim keusahawanan di
Kementerian Keusahawan, TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)," ujarnya.
Difahamkan, melalui program tersebut juga, peserta menerima RM500 untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan tanpa perlu membuat bayaran balik.