• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

KSTREM22 Platform Kongsi Maklumat Inovasi Dan Penyelidikan

BESUT, 27 Julai- Jabatan Kecemerlangan Akademik dan Sektor Kecemerlangan Pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan (IPGKSM) menganjurkan Kolokium Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Peringkat Kebangsaan 2022 (KSTREM22) dengan kerjasama kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi Negeri, Maliaman Kassim berkata, KSTREM22 yang berlangsung selama tiga hari di IPGKSM dan berakhir hari ini merupakan platform terbaik bagi berkongsi idea, ilmu dan produk yang dihasilkan oleh warga pendidik dan pelajar seluruh Malaysia.

 “Walaupun kita masih lagi berada dalam era endemik COVID-19, namun kolokium ini berjaya dilaksanakan.

“Apa yang saya harapkan, resolusi daripada kolokium ini dapat diaplikasikan dalam proses PdPc STEM dalam kelas-kelas pengajaran dan pembelajaran di sekolah mahupun pusat pengajian tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Perasmian Penutup Kolokium PdPc STEM Peringkat Kebangsaan 2022 di Dewan Bendahara, IPGKSM, di sini, hari ini.

Katanya, selari dengan hasrat untuk memperkasakan amalan dan penyelidikan dan inovasi dalam bidang pendidikan STEM dan robotik khususnya di kalangan pensyarah, guru dan pelajar, kerajaan negeri akan sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha dalam penghasilan inovasi dan penyelidikan pendidikan bukan sahaja di peringkat rendah malah sehingga ke peringkat tertinggi.