• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kuala Berang Diiktiraf Antara Lima Bandar Komuniti Bahagia Terbaik

HULU TERENGGANU, 21 Mac - Penduduk daerah ini boleh tersenyum bangga apabila Bandar Kuala Berang diiktiraf antara lima bandar di seluruh negara sebagai ‘Bandar Komuniti Bahagia Tahun 2022’.

Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Lukema Meri Salleh@ Abdul Latif, berkata penilaian itu berdasarkan tiga komponen utama yang dinilai melalui Indeks Kebahagiaan Bandar Malaysia sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2022.

Katanya, ia tidak akan dikecapi tanpa kerjasama daripada rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan.

"Syukur kepada Allah SWT kerana anugerah itu adalah komitmen daripada semua, bukan daripada pihak majlis (MDHT) sahaja, sebaliknya komitmen masyarakat juga.

“Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang terlibat dan semoga kita semua dapat mengekalkan rasa bahagia, sentiasa tenang, berhemah dan terus saling membantu demi daerah tercinta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Katanya lagi, pemilihan ini juga 
berlandaskan  14 kriteria Indeks Kebahagiaan yang dilaksanakan melalui Sistem Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInet) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia). 

"Indeks kebahagian merupakan pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk merangkumi aspek kesihatan dan kesejahteraan mental dan fizikal.

"Antara aspek utama yang menyumbangkan kepada tahap kebahagian adalah berkait rapat dengan tahap dan kualiti perkhidmatan yang diberikan PBT seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan dan teratur," jelasnya.

Justeru itu, bagi memastikan pengiktirafan itu dikekalkan pada masa hadapan, beliau mengharapkan agar perkhidmatan MDHT dipertingkatkan selain berkolaborasi dengan agensi berkaitan  supaya perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat daerah itu.