• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kuala Berang Wilayah E-Wallet Luar Bandar Pertama Di Malaysia

HULU TERENGGANU, 30 Oktober - Kuala Berang bakal menjadi wilayah E-Wallet luar bandar pertama di Malaysia melalui pelaksanaan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative - ReDI).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Rosol Wahid berkata ia akan memberi satu momentum kepada agenda digitalisasi negara untuk pemain industri sektor peruncitan di kawasan luar bandar.

Katanya, sesuai dengan tagline "Jom E- Wallet Sereme" semua warga peniaga dan pengguna daerah ini tidak ketinggalan dalam arus digitalisasi seperti saranan kerajaan.

"Sehingga hari ini, 63 peratus  daripada 375 peniaga di Ajil serta Kuala Berang telah berdaftar dengan E-Wallet dan saya yakin akan ia akan meningkat sehingga 100 peratus.

"Dengan adanya program seperti ini, saya yakin ia akan memberi impak yang disasarkan termasuk melonjakkan semula ekonomi peniaga di daerah ini yang terjejas akibat wabak pandemik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative - ReDI) di Pasar Besar Kuala Berang, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia.

Dalam masa yang sama, pihak ShopeePay turut menyumbangkan 20 kereta sorong (Pushcart) kepada peniaga yang dikenalpasti bersesuaian di Terengganu.

"Pihak ShopeePay juga akan membantu secara terus dengan pendaftaran e-dompet dan juga memberikan rebat tunai (cashrebate)  RM3 bagi setiap pembelian yang bernilai RM15 ke atas.

"Kerjasama ini diharap tidak terhenti di Terengganu sahaja malahan diharap akan diperluaskan kepada seluruh negara," katanya.

Tambah Rosol, bagi menyokong pelaksanaan program ReDI ini juga, 
Kementerian menerusi Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan melaksanakan satu program rintis sumbangan kepada pengguna bagi kumpulan sasar terpilih secara tanpa tunai di Hulu Terengganu ini. 

"Program ini akan melibatkan sumbangan kepada lebih 200 ketua isi rumah dengan suntikan kewangan sebanyak RM50 selama 3 bulan 
dan hanya boleh ditebus menggunakan aplikasi E-Wallet," ujar beliau.