• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kuala Nerus Lakukan Persiapan Rapi Hadapi Banjir

KUALA NERUS, 11 Disember – Kuala Nerus telah menjalankan persediaan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir yang akan berlaku di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak berkata, persediaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dijalankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan di peringkat DUN-DUN masing-masing.

“Menerusi Pejabat Daerah Kuala Nerus yang telah bermesyuarat, peralatan dan jentera bagi menangani bencana tersebut di dalam keadaan terbaik.

“Antara kawasan dikenalpasti seperti di Seberang Takir dan Tepoh, pada 2 Disember hujan lebat berterusan menyebabkan Kampung Alor Damat dilanda banjir kilat (sempadan Tepoh-Batu Rakit) menjejaskan lima buah rumah di dalam perkampungan tersebut menyebabkan 25 penduduk dipindahkan ke PPS.

“Jika ditakdirkan kita mengharungi musim banjir, maka pihak kami telah menyediakan payung sebelum hujan,” katanya juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, gelombang pertama menyaksikan empat daerah di negeri ini terjejas apabila 224 mangsa daripada 75 keluarga di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dipindahkan ke 10 PPS.