• 10 Mei 2024 | 2 Zulkaedah 1445

Kuala Terengganu Juara Keseluruhan SUTERA 2019

Dua atlet dari Kuala Terengganu dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SUTERA 2019.  
KUALA NERUS, 9 September - Temasya Sukan Terengganu (SUTERA) 2019 diungguli oleh Kontinjen Daerah Kuala Terengganu dengan pungutan pingat 34 Emas, 15 Perak dan 18 Gangsa.

Kenyataan media Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang diedarkan di Stadium Tertutup Gong Badak di sini malam ini menyebut bahawa kontinjen itu juga meraih gelaran Juara Keseluruhan dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM70,000, Piala Pusingan dan Piala Iringan.

Manakala Naib Johan Keseluruhan dimenangi oleh Kontinjen Daerah Kuala Nerus dengan pungutan pingat 19 Emas, 17 Perak, 21 Gangsa serta membawa hadiah wang tunai RM45,000 dan Piala Iringan.
 
'Kami Juara!'... Kontinjen Kuala Terengganu muncul Juara Keseluruhan SUTERA 2019.
Kenyataan itu menyebut lagi bahawa Kontinjen Daerah Dungun hanya berpuas hati di tempat ketiga keseluruhan dengan mengutip pingat 11 Emas, 16 Perak dan 14 Gangsa serta membawa pulang Piala Iringan dan Hadiah Wang Tunai RM15,000.

Anugerah Olahragawan dan Olahragawati SUTERA 2019 juga turut dibolot oleh atlet dari Kontinjen Kuala Terengganu.

Anugerah Olahragawan dinobatkan kepada Abdul Wafiy Roslan kerana berjaya meraih Empat Pingat Emas dalam Sukan Olahraga bagi Acara 200 Meter (M), 400 M, 4 X 100 M dan 4 X 400 M.
 
Abdul Wafiy (kanan) menerima hadiah  sebagai Olahragawan SUTERA 2019 dari Ustaz Wan Sukairi (dua dari kiri).
Sementara Olahragawati pula disandang oleh Ezzati Fifiyana Shazwanie Hisham yang cemerlang dalam Sukan Berbasikal dengan memenangi Lima Pingat dari Lima Acara yang dipertandingkan termasuk Tiga Emas bagi Acara 500 M Ujian Masa (Time Trial), Lepas Beramai-ramai Individu dan Kriterium serta Dua Perak masing-masing bagi Acara 100 M, 200 M, 4 X 100 M dan 4 X 400 M.

"Ini melayakkan beliau bergelar Ratu Pecut SUTERA 2019. Kedua-dua atlet itu masing-masing membawa Pulang Piala Iringan dan Hadiah Tunai sebanyak RM1,000 seorang," jelas kenyataan itu.
 
Ezzati Fifiyana Shazwanie (kanan) menerima hadiah sebagai Olahragawati SUTERA 2019 dari Ustaz Wan Sukairi (dua dari kiri).
Temasya SUTERA 2019 ditutup dengan Upacara menurunkan Bendera Kejohanan dan penyerahan bendera itu serta Buku Manual Pengelolaan SUTERA kepada Majlis Sukan Daerah Kuala Nerus yang bakal menjadi Tuan Rumah SUTERA 2021.

Tag: