• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kuasai Internet Secara Positif - Titah Tunku Azizah

KUALA NERUS, 26 Februari – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah ahli-ahli pandu puteri perlu tahu tentang cara untuk berhubung secara positif dan keselamatan semasa dalam talian, melindungi diri daripada ancaman dalam talian, menghormati hak dan reputasi diri di internet.

Seri Paduka Baginda yang juga merupakan penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia bertitah, ini terutamanya pada zaman sekarang semua maklumat boleh dicapai melalui hujung jari sahaja, terserah kepada masing-masing untuk menapis dan membuat penilaiannya.  

“Oleh itu, pendedahan terhadap Program Surf Smart perlu dikongsikan seluas-luasnya dalam kalangan pemimpin dan ahli pandu puteri kita. 

“Bagi memastikan persekitaran dunia yang damai, ahli-ahli pandu puteri perlu tahu tentang cara untuk berhubung secara positif dan keselamatan semasa dalam talian, melindungi diri daripada ancaman dalam talian, menghormati hak dan reputasi diri di internet.

“Ini termasuk memperkasakan dan menggalakkan penggunaan internet dengan bertanggungjawab selain menyampaikan nasihat dan memberikan bimbingan, memanfaatkan internet sepenuhnya serta memastikan ahli pandu puteri sentiasa dapat menavigasi laman sesawang sambil kekal selamat dalam talian,”titah baginda ketika berkenan merasmikan Sambutan Hari Peringatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis tersebut, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang merupakan Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu.

Berangkat sama, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Negeri Perak;Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman dan Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia Datuk Jeyadhevi Subramaniam.

Titah baginda lagi, justeru itu pemimpin-pemimpin pandu puteri diharapkan dapat membimbing ahli masing-masing dengan pelbagai program Pandu Puteri yang dapat memberikan manfaat yang terbaik dan pengalaman yang berkesan bagi membantu membina karakter ahli pandu puteri dengan nilai murni yang terbaik.