• 11 Mei 2024 | 3 Zulkaedah 1445

Kubur Dalam Taman Pertama Di Pantai Timur


KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Tanah Perkuburan Islam Paya Bunga di sini akan diinovasikan sebagai tanah perkuburan dalam taman.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M Rozi Bidin berkata, projek yang membabitkan kawasan seluas 5.2 hektar itu adalah projek perintis di Pantai Timur.

Katanya, ianya berkonsepkan wakaf dan bakal diuruskan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"Lengkap dengan pejabat pengurusan, surau, ruang menunggu, tandas, parkir, perabot taman dan landskap.

"Bilangan kubur sedia ada 16,000 lot dewasa, kanak- kanak (6,000 lot) dan kubur lama sebanyak 200 lot itu akan dikekalkan di lokasi sama," katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Wakaf Perkuburan Islam Paya Bunga di Hotel Primula di sini, petang ini.

Hadir merasmikan majlis itu, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurutnya, apa yang menarik kubur-kubur itu akan ditambah baik agar kelihatan lebih tersusun dan menarik.

"Waris si mati boleh mendapatkan segala maklumat termasuk kedudukan kubur melalui sistem e-Pusara.

"Projek itu bertujuan memberi keselesaan persekitaran dan pengurusan bersistematik serta keindahan kepada tanah perkuburan itu yang sebelum ini berselerak dan dipenuhi semak, " katanya.

Beliau berkata, jika dibiar terus dipenuhi semak, pastinya mendorong individu yang tidak bertanggungjawab menjadikan kawasan itu sebagai tempat melepas gian dadah, melepak dan lokasi pembuangan sampah.

"Faktor itu mendorong MAIDAM menaiktaraf lokasi itu sebagai kubur dalam taman," ujarnya.

Tag: