• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kubur Usia Lebih 100 Tahun Dibina Pagar

KEMAMAN, 1 November - Tanah Perkuburan Islam Lama Kampung Tengah Chukai yang berusia melebihi 100 tahun telah dibina pagar yang baharu.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tengah Chukai, Muhammad Azizi Zakaria memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas pembinaan pagar kubur itu.

"Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat kerana memberikan sumbangan sekali gus menjayakan pembinaan pagar di tanah perkuburan di sini.

"Terima kasih juga kepada Abdul Halim Embong (Pak Wang Che Ta) dan Mohamad Kolid Abu Bakar (Timbalan Pengerusi MPKK) yang telah banyak berjasa menjaga kubur ini secara sukarela," ujarnya.

Katanya lagi, walaupun kubur berkenaan tidak digunakan lagi untuk pengebumian, namun kebersihan di kawasan itu perlu dijaga dengan sebaiknya.

"Harapan saya semoga dengan pembinaan pagar ini dapat menjamin kebersihan kawasan kubur ini daripada pembuangan sampah, laluan motosikal dan sebagainya," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Pembinaan pagar itu telah menelan belanja sebanyak RM20,000.

Beliau yang juga Setiausaha Kelab Anak Muda Prihatin Kampung Tengah Chukai turut mengharapkan sumbangan daripada orang ramai untuk memasang beberapa papan tanda berkaitan tanah perkuburan yang dianggarkan berjumlah hampir RM3,000.

Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Muamalat Bank 13020000043713 (Kelab Anak Muda Prihatin Kampung Tengah) atau terus hubungi 01119313317 (Isa Abdullah) dan 01114952408 (Muhammad Azizi Zakaria).


Tag: