• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'Kuca Sughe' Suburkan Budaya Gotong Royong

DUNGUN, 17 September - Tradisi 'kuca sughe' apabila tiba bulan Muharram sebagai memperingati kisah Nabi Nuh dan kaumnya, berjaya menyuburkan budaya gotong royong di antara komuniti kampung.

Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Rugayah Mahmood berkata, kalau dulu gotong royong selalu dilakukan ketika kenduri kahwin tetapi kini semakin sukar dilihat.

"Kalau dulu-dulu di mana-mana sahaja bila ada kenduri kahwin, orang kampung, sanak saudara dan sahabat handai berkumpul, datang nak tolong, ada yang kupas bawang, ada yang kupas kelapa, siapkan pelamin, semuanya pakat buat. 

"Tetapi sekarang keluarga jauh datangpun masa nak kenduri, sebab apa, sebab tiada kerja nak kena tolong, tuan rumah dah tempah 'catering', tapi bila nak buat bubur asyura, masing-masing penduduk kampung datang nak tolong, menerusi tradisi kacau bubur asyura ini gotong royong masih berlaku," jelasnya.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (KHAIRUNNISA) berkata demikian ketika berucap di Majlis 'Kucha Sughe' di Kampung Burung Baru, baru-baru ini.

Sebanyak empat kawah bubur asyura telah berjaya disediakan dan diedarkan kepada penduduk kampung tersebut. 

Menurutnya, gotong royong  akan mendekatkan antara komuniti kampung dan seterusnya mengeratkan silaturahim sesama mereka. 

"Ada kalanya, kita tidak pernah kenalpun, di situ kita berkenalan dan apabila dah kenal, rasa nak berkunjung ke rumah, akhirnya mesra macam keluarga pulak," ujarnya sambil berseleroh. 


Tag: