• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Terengganu Inc Agih 3,000 Bubur Lambuk Percuma

KUALA TERENGGANU, 14 April – Kumpulan Terengganu Inc meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) di bulan Ramadan dengan mengagihkan 3,000 bekas bubur lambuk di Masjid Negeri, Kuala Terengganu semalam.

Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, agihan bubur lambuk menjadi salah satu aktiviti penghubung antara pihaknya bersama penduduk setempat sekaligus menjalinkan ikatan silaturahim secara terus bersama masyarakat.

“Terengganu Inc dan anak-anak syarikat Kumpulan meneruskan CSR Ramadhan bagi agihan bubur pada tahun ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. 

“Kami berharap, usaha ini dapat membantu mereka yang tiada juadah untuk berbuka atau bagi mereka yang tiada kesempatan untuk menyediakan juadah berbuka puasa menikmati keenakan bubur lambuk Terengganu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Maidam, Dato’ Hj Osman Muda dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Abidin, YM Dato’ Dr Syed Mohammad Salleh bin Syed Yusof Al Zawawi dan Pengurusan Terengganu Inc.

Tambah Burhanuddin, usaha itu diharap mampu mengekalkan tradisi pengagihan bubur lambuk di sekitar kawasan masjid, sekali gus dapat mengekalkan jalinan kerjasama antara kumpulan Terengganu Inc sendiri.

Menurut beliau, program pengagihan makanan tradisi bulan Ramadan itu merupakan aktiviti tahunan Terengganu Inc dan anak-anak syarikat kumpulan bersama komuniti masjid dan sekitarnya. 

"Agihan bubur lambuk bermula pada jam 2 petang sehingga selesai mulai 13 April sehingga 15 April 2021 bertempat di Masjid Negeri, Kuala Terengganu. Sebanyak 1,000 bekas diperuntukkan untuk agihan pada setiap hari.

"Bubur lambuk merupakan makanan tradisi Terengganu yang biasanya disediakan pada bulan Ramadan untuk juadah berbuka puasa. Antara bahan asas yang digunakan termasuk beras, pucuk midin, pucuk paku, ikan, ubi keledek, lada hitam dan rempah ratus," jelasnya lagi.