• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kunjung Hormat Medan Pertukaran Idea

Foto oleh: Shasliza Samsuddin

KOTA BHARU, 11 September – Kunjung Hormat antara Urus Setia Wanita Terengganu dan Kerajaan Negeri Kelantan dianggap medan untuk berdiskusi dan perpindahan pemikiran. 

Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Din berkata lawatan kerja dua hari tersebut merupakan kunjung hormat daripada Urus Setia Wanita Negeri Terengganu ke Pejabat Menteri Besar Kelantan dan Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan.

Menurutnya, kunjung hormat itu juga sebagai lawatan ilmu bagi pihak Urus Setia Wanita Terengganu bagi bertukar-tukar pengalaman terutamanya dalam pentadbiran kerajaan serta program-program khusus wanita.

“Banyak peluang-peluang kerjasama yang boleh dimanfaatkan dalam meningkatkan kesejahteraan wanita Terengganu.

“Insha-Allah perancangan kami akan lebih maju ke depan, kami sedar dan faham harapan yang begitu besar daripada rakyat dengan penubuhan urus setia baru ini.

“Kami akan bersatu untuk menyelaras program-program supaya lebih efektif dan mencakupi pelbagai peringkat serta golongan wanita Terengganu khususnya,”ujarnya.

Pertemuan bersama Urus Setia Wanita Negeri Terengganu dengan Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan.

Sakinah berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Exco Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat yang memberi kepercayaan penuh untuk menguruskan Urus Setia Wanita.

“Terima kasih juga buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor yang sentiasa penuh komited dalam bersama-sama merancang pembangunan wanita Terengganu.

“Dengan tanggungjawab dan amanah yang diberikan ini, serta hasil pertukaran ilmu pengalaman dengan Kerajaan Negeri Kelantan, besar harapan agar kami dapat bekerja dengan baik dalam membantu kerajaan negeri mengangkat kebajikan wanita Terengganu,”tambahnya.

Lawatan kerja dua hari ke Kelantan Darul Naim itu turut disertai oleh ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor dan ahli jawatankuasa Majlis Permuafakatan Wanita Negeri Terengganu (MAWADDAH).