• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kuota Haji Malaysia 14,306 Tahun Ini

PUTRAJAYA, 21 April -  Kerajaan mengumumkan kuota rasmi haji untuk Malaysia bagi tahun ini (1444 Hijrah) ditetapkan kepada 14,306 jemaah. 

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad dalam sidang akhbar secara langsung menerusi Facebook, hari ini. 

Idris berkata, jumlah kuota yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi itu adalah 45 peratus daripada kuota rasmi tahunan yang biasa diperoleh negara, iaitu 31,600 jemaah pada 2019.

Beliau berkata, peratusan kuota rasmi 45 peratus itu juga turut terpakai kepada semua negara-negara lain. 

“Bagi pihak kerajaan, saya lahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia. 

“Ini berita baik untuk umat Islam di Malaysia yang sudah menunggu sejak dua tahun lalu untuk menunaikan rukun Islam kelima ini. Sempena Ramadan yang mulia ini, marilah sama-sama dari lubuk hati yang dalam kita lafazkan rasa syukur tidak terhingga atas berita gembira ini,” katanya.

Katanya, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan mengeluarkan surat tawaran dalam masa terdekat dan bakal jemaah terpilih diminta membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera. 

Idris berkata, semua jemaah haji Malaysia juga perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal serta vaksin Covid-19 apabila dipanggil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa ditetapkan.

Menurutnya, Tabung Haji kini sedang giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci setelah dua tahun tertangguh kerana pandemik Covid-19. 

“Saya telah mengarahkan Tabung Haji untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah Haji Malaysia. Saya memohon jasa baik semua bakal jemaah haji untuk membuat persedian sewajarnya dari segi ilmu, kesihatan, rohani dan jasmani serta kewangan,” katanya. 

Pada masa sama, Idris berkata, sebagai pengumuman awal, bantuan pembayaran Haji tetap akan diteruskan oleh Tabung Haji kepada bakal jemaah haji pada tahun ini.

“Pihak pengurusan Tabung Haji  akan mengumumkan ketetapan bayaran baharu jemaah haji pada esok hari pada waktu yang akan diumumkan kelak,” katanya. 

Katanya, Tabung Haji  juga akan membuat pengumuman dari masa ke semasa sekiranya ada maklumat lanjut dari Kerajaan Arab Saudi yang perlu dikongsikan dengan bakal jemaah. – UTUSAN