• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kurangkan Harga Makanan Selaras Penurunan Harga Barang- KPDNHEP

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos – Peniaga terutamanya penjual makanan diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan dengan terus menaikkan atau mengekalkan harga barang jualan walaupun harga bahan asas lebih murah selepas berlaku penurunan harga.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Saharuddin Mohd Kia, berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga kedai makan yang menaikkan harga makanan dan minuman secara tidak munasabah.

Katanya, terdapat peniaga yang tetap mengambil kesempatan serta tidak menurunkan harga barang dengan pelbagai alasan.

“Peniaga diminta sesuaikan harga dengan situasi yang berlaku, janganlah bila harga barang naik, kita naikkan harga jualan tetapi bila keadaan kembali stabil…tahap harga masih sama ketika berlaku kenaikan harga barang.

“Peniaga kedai makan perlu lebih prihatin dan menggunakan kaedah menang-menang dalam menentukan harga makanan dan minuman dijual kerana peniaga juga adalah pengguna. Mungkin barang yang dijual itu melibatkan pengguna-pengguna lain tetapi  ada juga barang-barang lain yang melibatkan dia sebagai pengguna,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM)  di Pasaraya Q Mart Merbau Patah, di sini hari ini.

Katanya, penguatkuasa dan skuad pemantau harga KPDNHEP sentiasa membuat pemantauan, tetapi setakat ini belum ada sebarang tindakan diambil kerana peniaga dilihat masih mematuhi peraturan

“Namun pemantauan berterusan oleh  KPDNHEP akan terus dilaksanakan dalam memastikan semua pengguna boleh membeli barangan keperluan dengan harga berpatutan.

“Sekiranya berlaku kes sedemikian pihak kami boleh menyiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” ujarnya.