• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kursus Membaiki Mesin Basuh Peluang Tambah Ilmu Dan Sumber Pendapatan

DUNGUN, 27 September - Dalam usaha meningkatkan tenaga kemahiran khususnya dalam sektor pembaikian, Parlimen Dungun dengan kerjasama PADAT Dungun telah menganjurkan Kursus Asas Membaiki Mesin Basuh.

Diadakan selama sehari di Kampung Pinang Merah, program tersebut disertai seramai 29 orang peserta yang terdiri daripada para pemuda serta penduduk kawasan sekitar.

Paling menarik ianya diadakan secara percuma dan para peserta turut diberikan sijil penyertaan, t-shirt serta makan dan minum.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, kursus tersebut bertujuan untuk melatih serta menambah ilmu para peserta disamping memberi peluang kepada para peserta untuk menambah sumber pendapatan.

Katanya, objektif utama pihak kami menganjurkan kursus seperti ini adalah bagi membantu masyarakat Dungun secara khususnya bagi menambah pendapatan kerana kita juga faham, masih ramai diluar sana yang tidak stabil dari segi ekonominya semenjak COVID-19 melanda dunia," ujarnya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas selesai majlis penutup kursus tersebut turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak Abam's Crew yang diketuai oleh Khairul Fazil kerana sudi memberi bimbingan dan tunjuk ajar secara berkesan kepada para peserta.

Salah seorang peserta kursus, Abu Bakar, 51, menyatakan rasa syukur kerana dapat turut serta dalam kursus berkenaan.

 "Saya amat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana mengadakan program yang amat berguna seperti ini.

"Sebelum ini saya hanya bekerja sebagai 'freelance', sejak pandemik COVID-19 merebak, secara jujurnya pendapatan saya juga turut terjejas,"katanya.

Abu Bakar yang juga salah seorang penduduk sekitar kawasan berkenaan turut menyatakan hasratnya untuk menggunakan ilmu yang diperoleh sepanjang kursus berkenaan bagi membantu penduduk kampungnya selain menambah pendapatan.


Tag: