• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kursus Tampal Cantum Jana Ekonomi Wanita

KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Penganjur Program Kursus Jahitan Intensif mensasarkan 20 orang wanita yang terlatih dalam bidang jahitan tampal cantum dari setiap daerah di Terengganu bagi menjana ekonomi kendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata program yang diberi nama Program Kursus Jahitan Intensif Penghasilan Produk Dari Perca Kain / Pakaian Terpakai Melalui Jahitan Tampal Cantum (Patchwork / Quilting) itu merupakan salah satu daripada siri-siri Projek Jom Cipta Kerjaya (JCK) anjurannya.

Zuraida berucap ketika majlis perasmian.

Menurut beliau lagi, objektif utama penganjuran ialah untuk memberi kemahiran jahitan sulam tampal pelbagai jenis produk kepada wanita di samping bagi menambah pendapatan sampingan dengan memasarkan produk secara atas talian.

“Untuk program ini, kami sasarkan 20 usahawan jahitan tampal cantum di setiap daerah. Kami sudah selesai berkursus di Daerah Kuala Nerus, sekarang sedang berlangsung di Daerah Marang dan insya-Allah selepas ini, akan ke kawasan-kawasan lain pula.

“Pada masa yang sama, kami ingin beri pendedahan kepada wanita bahawa penghasilan produk tampal cantum ini boleh dilakukan dengan kos minima dan dengan hanya menggunakan mesin jahit ringan," ujarnya.

Zuraida berkata demikian ketika merasmikan kursus tersebut di Bengkel Jahitan Komuniti KAFA Masjid Titian Baru Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung gimik perasmian Pusat Komuniti Wanita Sejahtera Marang yang disempurnakan oleh ADUN Wanita dan penyerahan mesin jahit kepada penerima oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu.

Hadir bersama-sama, Pengerusi Majlis Permuafakatan Wanita Negeri Terengganu (MAWADDAH), To’ Puan Zarani Othman, Isteri Ahli Parlimen Marang, To’ Puan Seri Zainab Awang Ngah dan Isteri ADUN Bukit Payung, Zainun Abdul Wahab.

Sebahagian peserta program.