• 15 Mei 2024 | 7 Zulkaedah 1445

Ladang Solar 100MW Bakal Dibina Di Merchang

Gimik pelancaran Projek Solar 100 MW di Merchang, Marang dirasmikan di Majlis Sempena Meraikan Anugerah Best Practices In Non-Metallic Minerals Processing kepada TSC dalam 2nd AMA 2019 dan pelancaran Projek High Purity Silica oleh TRG Silica (Marang) Sdn Bhd, Merchang, Marang di Primula Beach Hotel Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 4 Februari - TRG Silica (Marang) Sdn Bhd (TRG Silica) telah bekerjasama dengan Syarikat Jerman yang akan mengusahakan ladang solar sebagaimana diluluskan oleh Kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Tenaga baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkataProjek Solar Skala Besar itu adalah dengan kapasiti 100 MegaWatt (MW) dan akan dibangunkan di lot (PT 14366 & PT 12430) yang berasingan pada bulan Mac ini.

Katanya, anggaran pelaburan pembangunan di Marang bagi projek Kilang Benifikasi TRG Silica Marang serta Ladang Solar itu adalah dianggarkan sebanyak RM550 juta.

Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.
Dalam masa yang sama menurutnya, kedua-dua projek itu akan membuka peluang pekerjaan seramai 200 orang warga tempatan secara langsung dan tidak langsung pada fasa 1 pembangunan.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sempena Meraikan Anugerah Best Practices In Non-Metallic Minerals Processing kepada Terengganu Silica Consortium (TSC) dalam 2nd AMA 2019 dan Pelancaran Projek High Purity Silica oleh TRG Silica (Marang) Sdn Bhd, Merchang Marang, di Primula Beach Hotel, di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd (TSC), Tengku Sri Temenggong Raja, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Pengarah Tanah dan Galian negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.

Dato' Tengku Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang seterusnya berkata, pembangunan bersama Projek High Purity Silica dan Projek Solar Skala Besar (100MW) tersebut memberi impak besar dan mendatangkan kemakmuran serta pertumbuhan sosio ekonomi bagi manfaat warga Mukim Merchang, Marang.

Dato' Tengku Hassan (dua dari kiri) berbual dengan tetamu di Majlis Sempena Meraikan Anugerah Best Practices In-Non-Metallic Minerals Processing kepada TSC dalam 2nd AMA 2019 dan Pelancaran Projek High Purity Silica oleh TRG Silica (Marang) Sdn Bhd, Merchang Marang, di Primula Beach Hotel Kuala Terengganu.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri telah meluluskan lima lot tanah deposit silika berasingan di mukim tersebut kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (TAW) untuk dipajak kepada TRG Silica.

"Perusahaan Syarikat TRG Silika (Marang) Sdn Bhd adalah mirip kepada perusahaan Terengganu Silica Consurtium Sdn Bhd," jelasnya.

Menurut beliau, TRG Silica akan memulakan kerja tanah bagi pembangunan aktiviti perlombongan dan kilang benifikasi pada pertengahan tahun ini membabitkan dua lot tanah PT 14368 dan PT 14367.

"Keutamaan peluang pekerjaan adalah kepada anak watan Terengganu dan jangka hayat perlombongan adalah dalam anggaran lebih dari 200 tahun," katanya.



Tag: