• 26 Sept 2021 | 18 Safar 1443

Lagi 1,000 Kotak Air Diagihkan Di Buluh Gading

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Sebanyak 1,000 kotak air bersih diagihkan kepada penduduk terputus bekalan air di 19 kampung di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Ridzuan Hashim berkata, daripada 33 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), 19 JPKK terjejas akibat terputus bekalan air termasuk 15 kampung yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Bila ada kekangan di beberapa kawasan itu, sudah tentu ia menimbulkan kerumitan kepada penduduk yang tidak boleh bergerak.

“Namun begitu, setakat ini kita telah agihkan bantuan air bersih kepada 1,300 buah rumah (20 liter setiap rumah), dan bila dicampur 1000 kotak hari ini, dan 1000 kotak daripada ADUN Chukai, kira-kira 3000 kotak air bersih telah disalurkan sehingga kini.

“Jutaan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan badan bukan kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia Marang atas sumbangan bekalan air pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas terlibat dalam Misi Bantuan Air DUN Buluh Gading, di Dewan Sivik Buluh Gading, petang tadi.

Menceritakan tentang usaha yang dilakukan beliau, sebanyak 95 tangki statik ditempatkan di 19 JPKK terlibat melibatkan hampir 5,000 buah rumah, serta enam lori sentiasa beroperasi menambah air di seluruh Buluh Gading.

“Mana-mana pihak yang putus bekalan air boleh menghubungi JPKK setempat dan PKM, kita berjalan sepenuh masa dengan tenaga sokongan 20 orang sukarelawan yang berkhidmat 24 jam,” jelasnya lagi.

Katanya lagi, beliau terharu atas sokong dan semangat ukhwah daripada seluruh negeri termasuk agensi dan GLC kerajaan seperti Syarikat Air Terengganu (SATU), Bomba dan Majlis Getah Malaysia (MRC) yang datang membantu.