• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Lagi 21 Lokaliti  Di Terengganu Dikenakan PKPD

KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 21 lokaliti melibatkan tiga mukim bagi mengawal penularan COVID-19, bermula 3 Ogos hingga 16 Ogos ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mukim yang terlibat ialah Mukim Jabi yang melibatkan lokaliti Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan di Besut.

"Sementara itu, dua mukim di Dungun yang melibatkan sembilan lokaliti di Mukim Kuala Dungun iaitu Kubang Miang, Teratai, Teluk Lipat, Alor Tembesu, Sura Utara, Batu 48, Sura Gate, Bukit Chatak dan Tembesu Akar.

"Manakala di Mukim Sura sebanyak 11 lokaliti terlibat dengan pelaksanaan PKPD iaitu Batu 5, Sura Tengah, Alor Tempoyak, Taman Rakyat Jaya, Taman Delima Batu 6, Balai Besar, Sura Melati, Batu 7, Paya Balai Besar, Pak Sabah dan Sura Lapangan Terbang.

"PKPD di kesemua  lokaliti tersebut dilaksanakan setelah kerajaan meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan menilai risiko serta trend jangkitan COVID-19," katanya dalam kenyataan media mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD, hari ini.

Pelaksanaan PKPD ini, jelas Hishammuddin adalah untuk mengawal pergerakan penduduk dan mengurangkan jangkitan dalam komuniti.

Selain itu katanya, PKPD akan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas  penduduk di 21 lokaliti tersebut.

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my," jelasnya.