• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Lagi 5,700 Liter Bekalan Air Bersih Disumbang

KUALA NERUS, 11 Ogos - Sebanyak 5,700 liter bekalan air bersih telah diagihkan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dan Batu Rakit yang terjejas akibat terputus bekalan air baru-baru ini.

Bekas Ahli Dewan Negara Terengganu, Dato' Husain Awang berkata, sumbangan peribadi beliau tersebut diharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka di lebih 600 buah rumah.

“Dengan kekuatan tujuh buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) daripada Besut berperanan membawa 1,800 botol air 1.5 liter dan 6,048 botol air 0.5 liter.

“Saya juga mengambil kesempatan menasihati komuniti terkesan bahawa ini adalah satu ujian daripada Allah, tanggungjawab kita untuk bersabar manakala pihak kerajaan dan sukarelawan juga bertanggungjawab mengagihkan bekalan asas ini,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Beliau berkata demikian selepas misi pengagihan air bersih di Bukit Tunggal, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal.

Sementara itu, ADUN Rantau Abang, Alias Harun turut menyumbang RM10,000 kepada DUN Bukit Tunggal bagi pengagihan bantuan air bersih buat komuniti di sini.

“Pada peringkat awal, kita ingin menderma dalam bentuk air, namun stok bekalan sudah habis setelah berbincang dengan pembekal.

“Oleh itu, diharapkan peruntukan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban sementara menunggu kerja pembaikian selesai dijangka Sabtu ini,” jelanya.