• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Lagi Dua Sekolah Di Terengganu Ditutup Angkara COVID-19

KEMAMAN, 5 Oktober - Dua sekolah dalam daerah Kuala Nerus ditutup akibat penularan kes baharu koronavirus (COVID-19).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata dua sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir.

Katanya, ia susulan terdapat pelajarnya disahkan postif COVID-19 yang mempunyai kontak rapat dengan salah seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang juga disahkan positif  sebelum ini.

"Kedua-dua sekolah ditutup bermula hari ini sehingga 11 Oktober.

"Kita sedang mengesan kontak rapat pelajar berkenaan untuk  menjalani ujian calitan (swab test) sebagai langkah berjaga-jaga dan diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Ozon Negeri Terengganu 2020 di Kelab Golf & Rekreasi PETRONAS, Kertih.

SMK Kompleks Seberang Takir mempunyai seramai 765 pelajar dan 82 guru manakala SK Kompleks Seberang Takir mempunyai 817 murid dan 63 guru.

Terdahulu, Sekolah Kebangsaan Padang Kemunting di Kuala Nerus ditutup sementara bermula 2 Oktober selepas seorang guru yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang pulang dari Sabah disahkan positif COVID-19.

Ia termasuk sebuah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di Al Muktafi Billah Shah, Bukit Besi, yang ditutup bermula 30 September selepas seorang kakitangannya didapati positif pandemik berkenaan.

Sementara itu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) juga ditutup sementara bermula hari ini hingga 7 Oktober  selepas seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19