• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Laksana Intervensi Pemasaran Telur Atasi Kekurangan Bekalan

KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melaksanakan intervensi bagi pemasaran telur ayam untuk memastikan kecekapan pengurusan rantaian bekalan bermula Disember tahun lalu.

Pengarah FAMA Terengganu, Nukman Hashim berkata, inisiatif tersebut bagi menjamin sekuriti makanan dengan membekalkan telur ayam kepada rakyat secara konsisten melalui outlet-outlet peruncitan FAMA dan tersedia berpandukan pada harga yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. 

”Sumber bekalan telur ayam akan dibekalkan daripada pengeluar atau kilang tempatan yang telah dikenalpasti oleh MAFS dan FAMA.

”Ia bagi mengimbangi kekurangan bekalan telur ayam dalam negara melalui ketersediaan bekalan di outlet peruncitan FAMA,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Tinjauan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim Bagi Agihan Telur kepada Outlet Usahawan FAMA Di Pusat Operasi FAMA, Chendering, hari ini.

Nukman berkata, program intervensi tersebut melibatkan penyertaan terus Pusat Operasi FAMA melalui beberapa kaedah iaitu jualan terus kepada outlet peruncitan FAMA yang melibatkan Agrobazaar Rakyat, Agrobazaar Kedai Rakyat, Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran dan lain-lain.

”Dan juga jualan terus dari pusat operasi kepada pengguna akhir serta kepada outlet peruncitan dan institusi lain,” ujarnya.